Koperasi Kakitangan Kerajaan Terengganu (KOKITAB) Berhad telah memutuskan untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada penjana kepada kemajuan pelancongan di negeri Terengganu. Sebagai langkah memperluaskan lagi skop aktivitinya, maka KOKITAB Berhad telah menerokai bidang pelancongan sebagai satu sumber kegiatan yang baru melalui penubuhan anak Syarikat iaitu KOKITAB Travel and Tours Sdn. Bhd.

KOKITAB Travel and Tours Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 04 Oktober 2004. Ia dianggotai oleh dua orang ahli lembaga pengarah iaitu Wan Roziah binti Wan Ahamad dan Mat Ghani bin Ahmad. Dengan keahlian yang melebihi 10,000 orang, KOKITAB yakin dapat memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi negeri terutamanya dari segi pelancongan.

Syarikat ini dibiayai oleh Koperasi Induk melalui modal yang dilabur daripada wang lebihan terkumpul Koperasi. Dengan kewujudan syarikat ini, ia seterusnya menyahut saranan kerajaan untuk menyertai sama pelan lima tahun rancangan pembangunan negeri Terengganu untuk menjadikan Terengganu destinasi pelancongan. Walaupun pemilikan saham dimiliki sepenuhnya oleh KOKITAB Berhad, akan tetapi pengurusan syarikat ini ditadbir oleh satu pentadbiran berasingan daripada Induk (KOKITAB Berhad). KTNT mempunyai entitinya sendiri dengan beberapa orang kakitangan yang terbahagi kepada beberapa bahagian. Ini adalah penting bagi merebut peluang yang datang secara adhoc yang memerlukan keputusan segera dan juga akan membuat syarikat ini lebih kompetitif dan berdaya saing.

KOKITAB Travel and Tours menyediakan produk pelancongan di mana ianya berorientasikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan harga yang berpatutan. Ini adalah asas kepada perniagaan dan penting untuk kejayaan syarikat dalam mencapai objektifnya. Dalam jangka panjang, pelaburan ini selain daripada dapat menawarkan produk yang kompetitif kepada anggota khususnya, dan masyarakat umum amnya, juga akan dapat meningkatkan lagi pendapatan KOKITAB dan seterusnya meningkatkan nisbah dividen kepada anggotanya.